ISNIN, 25 JULAI 2022
BINTULU: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan komited mendapatkan pandangan daripada golongan belia di Sarawak dalam memajukan negara dan negeri ini di masa akan datang.
Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk itu diadakan pelbagai program belia seperti ‘Townhall’ ini bagi melihat bagaimana belia hari ini mencorakkan masa depan Sarawak dengan pelbagai idea dan cadangan bernas.
Ujar beliau lagi, di Sarawak golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun sebanyak 52 peratus.
“Kita akan sentiasa turun padang untuk mendapatkan pandangan daripada golongan belia. Sebab itulah, apabila kita mengadakan ‘Townhall’ saya suka melihat riak wajah peserta, saya suka melihat inspirasi belia setiap soalan dan peringkat umur belia di mana kami menyimpan dan menilainya menerusi simpanan data,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Program Youth Entrepreneur Setup (YES) 2022 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai program YES ini, Dato Sri Abdul Karim mahu melihat aspirasi belia dalam membina masa depan Sarawak yang lebih gemilang dan makmur dijayakan menerusi platform ini.
Program ini mula diadakan di Miri, Sibu dan kini diadakan di Bintulu sebelum diperluaskan ke setiap bahagian di Sarawak.
“Tujuan kita adalah untuk mendengar dan melihat, bagaimana aspirasi belia-belia apakah perkara lain yang anda perlukan, apakah aspirasi anda kerana anda adalah komponen masyarakat yang sangat penting.
“Anda adalah komponen yang sangat penting bagaimana mencorakkan pada masa hadapan Sarawak,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr. Ripin Lamat dalam ucapan aluannya memberitahu tujuan Program YES ini diadakan adalah untuk menggalakkan belia menjadi usahawan atau majikan.
Katanya lagi, untuk itu kementerian mengumpul data dan maklumat mengenai bidang usahawan yang diminati para peserta ini serta aspirasi belia dalam memajukan Sarawak.
“Tujuannya ialah kita hendak merangka program susulan di mana selepas program hari ini, kita ada program-program yang lain yang akan datang yang akan menjurus kepada minat belia-belia kita di setiap kawasan.
“Oleh sebab itu, kita mewajibkan setiap peserta mengisi borang ini sebab kita hendak merangka satu program bersesuaian dengan minat belia setempat,” katanya.
Selain townhall, juga diadakan pelbagai lagi program lain antaranya sesi motivasi, Penerangan Lesan dari Pejabat Daerah Bintulu, Penerangan Lesan dan Permit dari Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Penerangan Bantuan SEDC, persembahan busker tempatan, cabutan bertuah dan pameran gera-gerai usahawan.
Turut sama hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Nancy Jolhi dan Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid.-EDISI UKAS