Bangunan Astaka Kampung Tematu Siap Sepenuhnya

SELASA, 26 JULAI 2022

KUCHING: Projek pembinaan bangunan astaka Kampung Tematu dengan kos RM120,000 telah siap sepenuhnya pada 15 Jun lepas.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Ir. Lo Khere Chiang memberitahu, pembinaan bangunan tersebut telah dimulakan pada 16 Februari 2022.

“Projek ini dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan ia bertujuan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Dengan adanya bangunan ini, diharapkan para penduduk boleh menggunakan ia sebagai ‘grandstand’ untuk menonton sebarang pertandingan bola sepak atau sukan rakyat di padang bersebelahan di sini serta menjalankan aktiviti sihat yang lain,” jelasnya ketika ditemui media selepas menyaksikan penyerahan projek tersebut di Kampung Tematu di sini pada Selasa.   

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang menyeru setiap kontraktor yang dipilih agar memastikan kualiti pelaksanaan sebarang projek sentiasa terjamin.

“MPP mempunyai sistem gred bagi semua kontraktor projek di bawah seliaannya dengan kontraktor yang diberi gred C tidak akan digunakan lagi pada masa depan,’’ tegas beliau.

Bagi projek bangunan astaka itu pula, Khere Chiang berpuas hati atas kualiti pelaksanaannya walaupun ia telah menghadapi sedikit kelewatan akibat kesulitan membawa masuk bahan binaan.  

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Kampung Tematu, Geofry Tahang, Pegawai Pembangunan dan Perancangan MPP, Hartini Ahmad serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tematu. -Edisi UKAS

add comment