Kerajaan Sarawak Buat Kajian Bina Sebuah Pelabuhan Laut Dalam Baharu Di Tanjung Embang

RABU, 27 JULAI 2022

BELGIUM: Kerajaan Sarawak sedang membuat kajian untuk membina sebuah pelabuhan laut dalam baharu bagi kawasan selatan Sarawak dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Antwerp-Bruges dan pihak swasta dari Sarawak pada Selasa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut bagi cadangan membangunkan Pelabuhan Tanjung Embang di Muara Sungai Sarawak dekat Kuching secara kerjasama antara Pelabuhan Antwerp dan Hubline Bhd.

Pelabuhan Antwerp merupakan pelabuhan kontena antarabangsa kedua terbesar di Eropah dan ke-14 di peringkat dunia, sementara Hubline adalah syarikat tempatan yang terlibat dalam perkhidmatan logistik perkapalan secara pukal.

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menzahirkan keyakinan penerapan inovasi terkini dalam pengurusan dan perkhidmatan pelabuhan akan memberi kelebihan kepada pelabuhan ini nanti sebagai sebuah pelabuhan yang cekap dengan kos yang murah.

Menurutnya, pada awal Julai, beliau berada di Singapura untuk menghadiri taklimat oleh pihak juruperunding mengenai impak sosio-ekonomi projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 109 kilometer persegi.

“Jika semuanya (inovasi dan teknologi) sudah ada, para pelabur sudah ada keyakinan, saya yakin pelabuhan ini nanti akan mempunyai kelebihan untuk berkembang maju.

“Keseluruhan Semenanjung Tanjung Embang akan dibangunkan oleh Kumpulan ASSAR, sebuah syarikat induk pelaburan milik penuh kerajaan Sarawak,” kata beliau semasa majlis menandatangani MoU tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dalam taklimat sebelum majlis tersebut menyatakan pelabuhan yang berkonsepkan integrasi dengan pembangunan industri merupakan salah satu daripada dua pelabuhan laut dalam yang akan dibangunkan di bawah Pelan Strategik Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Katanya, sebuah lagi pelabuhan akan dibangunankan di kawasan utara Sarawak sebagai sebahagian daripada program untuk memulih dan memangkin pertumbuhan ekonomi Sarawak pasca COVID-19.

Setiba di Pelabuhan Antwerp-Bruges, Premier Sarawak dan rombongan telah diberi taklimat mengenai pembangunan dan operasi pelabuhan oleh pegawai pelabuhan tersebut.

Kemudian, beliau telah mengadakan kunjungan kehormat terhadap Menteri-Presiden Flanders bagi Kawasan Flemish, Jan Jambon.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi dan Duta Malaysia ke Belgium dan Luxembourg, Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani.

Terdahulu pada pagi Selasa Premier Sarawak telah menyaksikan majlis serupa antara Kerajaan Sarawak dan Melexis Technology untuk merintis kerjasama dalam pembangunan reka bentuk cip mikro yang diintegrasikan (integrated micro-chip) bagi cip-cip yang dihasilkan di Sarawak. -EDISI UKAS

add comment