RABU, 27 JULAI 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memohon peruntukan untuk pembaikan dan naik taraf fasiliti dan klinik-klinik kesihatan di luar bandar.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, klinik-klinik yang berusia 50 tahun dan ke atas, KKM akan mencadangkan klinik-klinik tersebut diganti dengan bangunan baru dengan mengambil kira keperluan populasi.
“Perkhidmatan akan diberikan serta liputan perkhidmatan kesihatan berdasarkan kepada kelulusan peruntukan yang diperolehi,” katanya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau pada Isnin.
Sebelum itu, Anyi bertanya mengenai rancangan Menteri Kesihatan untuk membaik pulih klink di kawasan luar bandar dan status pelaksanaan Klinik Kesihatan Long San sehingga kini.
Khairy berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan-2 (PP2) Sarawak telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM1.03 juta untuk empat Klinik Kesihatan iaitu KK Long Jegan, KK Lingga, KK Nanga Mujau dan KK Tanjung Embang yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bangunan.
“Permohonan RMK-12 RP3, sebanyak RM1.34 juta melibatkan 6 klinik iaitu KK Kedup, KK Long Banga, KK Lusong Laku, KK Banga Ngungun, KK Long Semadoh dan KK Nyalau akan dilaksanakan sekiranya permohonan diluluskan,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, Projek Klinik Kesihatan Kuarters Long San telah diluluskan pada tahun 2020 dengan kos sebanyak RM27.7 juta.
Katanya, KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memuktamadkan Jadual Keperluan Ruang dan Anggaran Kos Projek dan projek dijangka akan ditender pada November 2022. – EDISI UKAS