Laluan Alternatif Akan Dibina Di Hospital Umum Miri Untuk Kurangkan Kesesakan Lalulintas

RABU, 27 JULAI 2022

MIRI: Satu laluan alternatif akan dibina dan dibuka di Hospital Umum Miri bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang berlaku di situ.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, dengan pembukaan baru lorong alternatif ini, pengguna tidak perlu bergantung sepenuhnya terhadap laluan yang sedia ada pada masa ini.

“Projek penambahan bangunan Hospital Umum Miri yang tertangguh disebabkan pandemik COVD-19 telah dijadualkan semula dan dijangka siap pada April 2024.

“Kita tidak dapat menunggu terlalu lama untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik di sini.

“Jadi, kita mengambil inisiatif untuk membuka satu laluan tambahan keluar dalam masa terdekat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya selepas melakukan lawatan ke Hospital Umum Miri pada Selasa.

Dato’ Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut meminta agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Kontraktor Hospital Umum Miri, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Endaya Construction Sdn Bhd untuk bekerjasama dan menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama untuk kebajikan orang awam.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Hospital Umum Miri membina tempat letak kereta bertingkat sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, hospital perlu membina tempat letak kereta bertingkat dengan memasukkannha di dalam jadual naik taraf Hospital Umum Miri seperti yang ada di Hospital Umum Sarawak, Kuching,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Pengarah Hospital MiriDr Jack Wong Siew Yu, Jurutera Bahagian JKR Miri Chong Chi Fan dan Konsultan Jeffery Phang Architect Kaunselor Jeffrey Phang.-EDISI UKAS

add comment