Jangan ‘Permain’ Mandat Rakyat – Datuk Wilson Ugak

KHAMIS, 28 JULAI 2022

KUALA LUMPUR: Kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi berparlimen di negara ini amat diutamakan dalam merealisasikan agenda transformasi.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, mandat dari rakyat tidak seharusnya dipermainkan dengan sewenangnya bertukar parti.

Justeru itu katanya, satu kadar bayaran denda patut dikenakan bersama Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang melarang ahli dewan rakyat bertukar parti.

Beliau menjelaskan, ia adalah bagi memastikan setiap ahli parlimen yang bertanding akan dikenakan denda sejumlah diantara RM5 juta hingga RM10 juta sekiranya didapati melanggar RUU berkenaan.

“Ini juga bagi mengelakkan ahli parlimen dijadikan sebagai barang dagangan oleh parti-parti politik.

“Saya pasti ramai pengundi akan turut senada dengan cadangan saya ini.

“Tujuan denda ini juga sebagai satu pengajaran untuk ahli politik agar wang ini boleh digunakan semula oleh Suruhan Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan megendalikan semula Pilihan Raya di sesuatu kawasan,” ujarnya semasa sesi perbahasan di dewan rakyat di sini pada Khamis.

Selain itu, Datuk Wilson menambah, sejumlah 41 daripada 193 negara di seluruh dunia telah melaksanakan Akta Anti Lompat Parti berdasarkan satu kajian dibuat sekitar tahun 2009.

Beliau mengulas lanjut, kajian itu menunjukkan fenomena wakil rakyat lompat parti adalah merupakan isu global yang harus ditangani melalui aspek perundangan. -EDISI UKAS

add comment