Datuk Abdullah Sokong RUU Anti Lompat Parti Dilaksana Di Sarawak

JUMAAT, 29 JULAI 2022

KUCHING: Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) larangan wakil rakyat melompat parti, dikuatkuasa di Sarawak.

Tegas beliau, budaya melompat parti mencemarkan integriti serta kedaulatan demokrasi sesebuah negara seterusnya menyebabkan sistem pentadbiran dan polisinya menjadi tidak menentu.

Katanya, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen lompat parti yang diperkenal oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama semua Ahli Parlimen yang terlibat adalah satu usaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang baik dan stabil.

“Saya yakin masyarakat secara amnya yang mahukan sebuah amalan demokrasi yang sihat dan berintegriti, mengalu-alukan kelahiran satu RUU yang melarang wakil rakyat untuk melompat parti.

“Bila seseorang calon bertanding untuk menjadi wakil rakyat, beliau akan berkempen di atas satu prinsip parti politik yang beliau wakili dan menjanjikan keupayaan beliau untuk menjadi wakil rakyat kepada masyarakat, tetapi setelah menang tiba-tiba beliau mengubah pendirian semata-mata untuk menyelamatkan nyawa politik beliau sendiri.

“Secara peribadi saya beranggap ini satu perbuatan yang tidak bermaruah kerana secara amnya beliau telah menodai kepercayaan dan mandat yang telah diberi oleh masyarakat ketika mengundi beliau dan meletakkan beliau menjadi wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kedudukan orang yang tidak berpendirian seperti ini harus dicurigai kerana orang seperti ini tidak mampu menjadi pemimpin. Bagi saya, beliau hanya melihat kedudukan beliau sendiri sahaja.

“Saya anggap perbuatan melompat parti ini sebagai sesuatu kerja menipu rakyat,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah memberitahu, beliau kurang bersetuju dengan cadangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili yang mencadangkan Sarawak meminda perlembagaannya dalam masa 60 hari agar selari dengan pindaan di peringkat persekutuan.

Ini kerana ujarnya, tidak ada peruntukan yang memerlukan Sarawak untuk meminda perlembagaannya dengan segera.

“Saya rasa kita juga harus melihat dengan terperinci tentang keperluan kita dan saya yakin jika pemimpin kita di peringkat kabinet telah meluluskan, mungkin jika perlu dan jika telah dimuktamadkan, perkara ini boleh dibentang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bersidang dalam bulan November akan datang,” jelas beliau.

Tambah Datuk Abdullah lagi, apa-apa tindakan Sarawak mengenai perkara berkaitan, kepentingan dan hak wilayah Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak akan terhakis malah terus akan dipertahan dan dilindungi. -EDISI UKAS

add comment