IPD Matu-Daro Disenarai Dalam Pelan Tindakan Pembangunan Strategik Tahun 2021 Hingga 2025

JUMAAT, 29 JULAI 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyenaraikan cadangan pembangunan baru khususnya bagi menggantikan bangunan lama yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggara dan dibaiki.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu-Daro, ia telah disenaraikan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Strategik Polis DiRaja Malaysia (PSPDRM) tahun 2021 hingga 2025.

Jelas beliau lagi, pihak kementerian kini sedang memberi keutamaan bagi menyiapkan projek sedia ada (baharu dan sambungan) serta kerja-kerja menaik taraf premis Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang uzur.

“Kementerian memberi tumpuan menyiapkan projek pembangunan yang telah diluluskan oleh dewan ini untuk PDRM di Sarawak iaitu dua buah IPD di Lawas dan Belaga, dua buah balai polis masing-masing di Matang Jaya dan Spaoh, pembaikan cerun di IPD Kapit, kerja-kerja pembaikan dan penggantian lif Kompleks PDRM serta kerja pembaikan pejabat, perumahan dan kemudahan PDRM di Sarawak,” ujarnya bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas di sini pada Khamis.

Beliau menambah, ia selari dengan usaha PDRM untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan imej serta tahap rasa selamat penduduk setempat. -EDISI UKAS

add comment