JUMAAT, 29 JULAI 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa komited untuk menyediakan inisiatif bersesuaian kepada peminjam Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan juga bencana alam.
Menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi Sarawak, seramai 193 usahawan luar bandar telah menerima pembiayaan SPED yang berjumlah RM14.8 juta dalam pelbagai sektor.
“Selaras dengan itu, penangguhan bayaran balik pinjaman (moratorium) telah diberikan bagi membantu usahawan mengatur semula aliran tunai perniagaan dan dalam masa yang sama masih layak untuk dipertimbangkan geran Muqasah sebanyak 30 peratus,” jelasnya bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas di sini pada Khamis.
Selain itu, beliau menambah, KPLB juga telah mengurangkan kadar caj upah perkhidmatan atau ‘Ujrah’ mulai tahun 2022 dari 5 peratus kepada 3.5 peratus kepada pembiayaan baharu yang diluluskan agar dapat membina dan mengukuhkan semula perniagaan usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. -EDISI UKAS