Projek Pembinaan ILP Serian Dijangka Siap 28 Ogos 2022

JUMAAT, 29 JULAI 2022

KUALA LUMPUR: Projek Penubuhan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian yang bermula pada 26 April 2018 dan dijadualkan siap pada 28 Ogos 2022.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan berkata, projek itu merangkumi pembinaan 5 blok bengkel latihan, bangunan pentadbiran, bangunan asrama, bangunan kuarters, surau dan kemudahan sukan.

“Status kemajuan bagi projek ini bagi tempoh sehingga Januari 2022 adalah 56.42 peratus berbanding jadual 81.81 peratus melibatkan kelewatan sebanyak 25.39 peratus.

“Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan di samping arahan penutupan tapak bina disebabkan kes jangkitan COVID-19,” jelasnya bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, terdapat arahan perubahan kerja yang telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor berikutan pertukaran skop kerja yang juga menyumbang kepada kelewatan projek. -EDISI UKAS

add comment