JUMAAT, 29 JULAI 2022
BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir menghadiri Mesyuarat Projek Pembangunan Hasil Hutan Bukan Kayu (Nipah) di bawah CSR JCC Petronas di Pejabat Residen Bahagian Betong pada Rabu.
Bercakap ringkas, beliau berkata mesyuarat itu bertujuan mencari kaedah untuk meningkatkan sumber pendapatan dan menaiktaraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penanaman semula pokok nipah atau dikenali sebagai apong dengan penghasilan serta menggalakkan inovasi pengeluaran produk baru berasaskan gula apong.
Selain itu, turut diadakan sesi dialog di antara pengusaha gula apong bersama agensi yang terlibat bagi mengenalpasti keperluan dan kehendak pengusaha.
Dalam pada itu, Mohd Chee turut menyeru agar para penyelidik daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mengenalpasti serta mencadangkan cara penghasilan gula apong secara lebih komersial dan moden bagi menarik minat para pengusaha belia dalam penghasilan gula apong tersebut.
Turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Ik Pahon Joyik, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Beting Maro Razali Gapor, pihak Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (UPPS), Residen Bahagian Betong Michael Abu Nawas, Pegawai Daerah Kabong Mohamad Rashdan Hazemi, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Kumpulan Penyelidikan Apong (ARG) UNIMAS dan wakil-wakil jabatan dan agensi terlibat. – EDISI UKAS