Pelbagai Aktiviti Bertemakan Kesihatan Meriahkan Sambutan Pesta Selangau

SABTU, 30 JULAI 2022

SELANGAU: Pelbagai aktiviti menarik bertemakan kesihatan diadakan bagi memeriahkan sambutan Pesta Selangau yang sedang berlangsung.

Hari ketiga pesta anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) pada Sabtu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol yang seterusnya merasmi dan melepaskan peserta larian santai dan saringan kesihatan percuma.

Menurut Rita, beliau berharap Pesta Selangau diteruskan pada tahun hadapan dan diperbanyakkan lagi dengan pelbagai aktiviti berkaitan dengan kesihatan dan kecergasan agar dapat menarik lebih ramai penyertaan penduduk sekitar.

“Saya berharap Pesta Selangau akan diadakan pada tahun hadapan termasukkan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan kesihatan dan kecergasan dan dapat menarik lebih ramai penyertaan penduduk sekitar.

“Program ini adalah dari kementerian kesihatan untuk menjalankan saringan kesihatan percuma bagi golongan B40. Manakala kumpulan Benchmark ini dilantik oleh KKM menolong mereka menjalankan saringan kesihatan untuk B40 khususnya kita masyarakat di luar bandar.

“Saya berharap penduduk di Selangau ini mengambil peluang untuk mengadakan saringan kesihatan memandangkan ianya percuma. Mereka ini akan berada di sini sepanjang pesta Selangau,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata program ini juga bukan sahaja diadakan di Selangau tetapi akan diadakan di Sangan dan seterusnya di Sibujaya dengan memfokuskan masyarakat di rumah panjang dan kampung-kampung.

Saringan kesihatan percuma ini termasuk ujian darah dan air kencing seperti saringan kolestrol, sele- sel darah, kencing manis dan kesihatan buah pinggang.

Selain itu turut diadakan pemeriksaan tekanan darah, BMI dan komposisi badan, pemeriksaan fizikal dan ujian mata. – EDISI UKAS

add comment