Premier Sarawak Ketuai Delegasi Ke UK, Pelajari Operasi Dana Kekayaan Berdaulat

SABTU, 30 JULAI 2022

LONDON: Premier Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai delegasi ke United Kingdom (UK) untuk mengadakan kunjungan terhadap pihak International Forum of Sovereign Wealth Funds (IFSWF) dan Price Waterhouse Coopers (PWC) di sini pada Khamis.

Kunjungan itu bertujuan untuk mempelajari dan mengkaji ilmu pengetahuan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat sebelum menubuhkannya di Sarawak.

Premier Sarawak berkata, Sarawak berhasrat untuk mendapatkan pandangan mengenai strategi pelaburan, pengurusan dan tadbir urus Dana Kekayaan Berdaulat UK serta rangka kerja undang-undang dan dasar sebagai sebahagian daripada proses penandaarasan.

“Kedudukan kewangan Sarawak kini agak kukuh jadi kami mahu menjana pendapatan daripada lebihan dana pada masa hadapan untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sebelum sesi taklimat daripada IFSWF dan pegawai PWC di ibu pejabat PWC.

Sehubungan itu, Premier Sarawak turut berharap menerusi kunjungan tersebut, para pegawai IFSWF dapat berkongsi kepada mereka dari segi pengalaman dan pengetahuan mengenai operasi dan tadbir urus dana pelaburan milik kerajaan tersebut.

Rombongan berkenaan turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Negara, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr Muhammad Abdullah bin Zaidel.

Kemudian, Premier Sarawak dan rombongan mengadakan kunjungan terhadap Pengurus Dana UK Government Investment Ltd (UKGI), sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh HM Treasury untuk memahami campur tangan struktur dasar dan nasihat pakar tentang pembangunan Dana Kekayaan Berdaulat. -EDISI UKAS

add comment