PIBG Main Peranan Bantu Wujudkan Suasana Pembelajaran Kondusif

AHAD, 31 JULAI 2022

SIMUNJAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan platform bagi ibu bapa membantu pihak sekolah mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif untuk para pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu kerjasama erat antara kedua-dua pihak membolehkan segala kekurangan diatasi dengan lebih mudah.

“Dalam pada itu, ahli-ahli PIBG perlu proaktif dalam menghulurkan bantuan kepada pihak sekolah,’’ katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung PIBG SMK Sri Sadong Kali Ke-15 dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Dewan SMK Sri Sadong di sini pada Sabtu.

Awla yakin, pihak sekolah akan berbesar hati sekiranya mendapat ahli PIBG dan juga ibu bapa yang suka melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka.

Sementara itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan sekolah tersebut atas peningkatan kecemerlangan keputusan SPM tahun 2021 di mana ia mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 5.6 berbanding 5.98 berbanding tahun sebelumnya.

Untuk rekod, nilai GPS yang lebih kecil melambangkan pencapaian keputusan yang lebih baik bagi sesebuah sekolah.

“Malah, SMK Sri Sadong juga menunjukkan peningkatan jumlah gred A yang ketara.

“Saya berharap agar keputusan GPS dan jumlah A akan terus meningkat pada tahun ini. Ianya tidak mustahil dengan penganjuran pelbagai jenis program akademik yang dilaksanakan di sini serta ditambah lagi dengan kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat,’’ tegas beliau.

Pada majlis tersebut, Awla turut menyampaikan sumbangan insentif kepada pelajar yang telah berjaya dalam SPM pada tahun 2021.

Sehubungan itu, beliau berharap insentif berkenaan akan digunakan dengan sebaik mungkin termasuk sebagai persediaan menghadapi tingkatan enam atau mengikuti program diploma atau asasi di Institusi Pengajian Awam dan Swasta.

Hadir sama Pengetua SMK Sri Sadong Kemeri Jalani, Yang Di-Pertua SMK Sri Sadong Baharim Md Daud serta Timbalan Yang Di-Pertua SMK Sri Sadong Khatina Amat. – Edisi UKAS

add comment