ISNIN, 1 OGOS 2022
BATU NIAH: Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah telah menyalurkan bantuan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Operasi Pemeriksaan Radiasi di Sepupok, di sini pada Isnin.
Menurut kenyataan BBP Batu Niah, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dikenali Ho Chaeng Seng yang beralamat di Pekan Lama, Sepupok Niah pada jam 16:50 petang.
Sehubungan itu, sebuah jentera Bomba yang diketuai Ketua Balai Rary Binjie bersama Pegawai Kanan Bomba Ahmad Nizam dan pemandu kenderaan Peter Ngumbang ke lokasi kejadian.
“Operasi pemeriksaan radiasi dilakukan oleh agensi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan setelah membuat pemeriksaan didapati objek tersebut tiada radiasi,” kata kenyataan itu.
Turut berada di lokasi kejadian ialah pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bagi mengawal kawasan terbabit.
Sehingga kini, objek tersebut masih belum dapat dikenal pasti dan dijangka akan diketahui esok hari selepas kehadiran agensi AELB dari ibu pejabat di Putrajaya. -EDISI UKAS