GPS Perlu Menang Tiga Kerusi Bidayuh Dalam PRU15

AHAD, 31 JULAI 2022

SERIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memenangi ketiga-tiga kerusi Parlimen bagi kawasan Bidayuh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri (Dr) Richard Riot Jaem berkata, disebabkan dua daripada tiga kerusi tersebut telah dimenangi pembangkang pada PRU14, maka beliau berharap kerusi-kerusi Parlimen Mas Gading serta Parlimen Puncak Borneo dimenangi semula selain GPS mengekalkan kerusi Parlimen Serian.

“Kesemua kerusi ini perlu dimenangi dengan majoriti yang banyak,’’ tegasnya ketika berucap merasmikan Balai Pusaka Anak Tebedu dan Tanah Perkuburan Baharu Katolik Kampung Tebedu di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Mas Gading kini dipegang oleh Mordi Bimol manakala kerusi Parlimen Puncak Borneo pula disandang oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Malaysia, Datuk Willie Mongin.

Sementara itu, pembinaan Balai Pusaka Anak Tebedu telah bermula pada tahun 2016 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kerajaan Sarawak dan ia kini siap sepenuhnya dengan jumlah kos sebanyak RM370,000.

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir, Angela Thomas; Pemanca Kane Manung; Majistrat Bumiputera Sarawak, Yang Arif John Awan; Penghulu Gaup Takip; Penghulu Fong Soon Fah dan Ketua Kaum Kampung Tebedu Mawang, Impur Niyun. -EDISI UKAS

add comment