Kerajaan Sarawak Guna Dana Sendiri Biayai Projek Di Bawah RADDA

ISNIN, 1 OGOS 2022

SIBU: Kerajaan Sarawak akan menggunakan peruntukan sendiri untuk membiayai pelaksanaan projek-projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah & Alam Sekitar Sarawak yang juga Pengerusi RADDA, Datu Len Talif Salleh berkata pihaknya juga tidak perlu memohon atau meminta untuk melaksanakan projek dengan syarat semua jawatankuasanya bersetuju untuk projek dilaksanakan.

“Projek ini sepenuhnya dibiayai oleh kerajaan negeri dan bukan pihak persekutuan dan kita tidak perlu memohon atau meminta untuk melaksanakan projek ini asalkan jawatankuasa semuanya bersetuju, maka ianya akan dilaksanakan segera.

“Itulah cara pendekatan, atau ‘fast track’ dalam melaksanakan projek-projek untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media Lab Agensi Pembangunan Delta Rajang di Sibu pada Isnin.

Menjawab mengenai penubuhan pelbagai agensi pembangunan di negeri ini, Datu Len menjelaskan Sarawak mempunyai kawasan yang luas dengan keunikan, kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.

Katanya, RADDA akan lebih fokus dalam mengenal pasti program khusus untuk keperluan kawasan-kawasan tertentu.

“Kami di RADDA mengenal pasti, kami melakukan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman) apakah kekuatan dan kelemahan kami. Kemudian, kami menyediakan preskripsi kepada kelemahan dikenal pasti.

“Sebab itu, kita tubuhkan begitu banyak agensi supaya mereka boleh fokus kepada kekuatan dan kelemahan di kawasan masing-masing. Itulah rasional di sebalik agensi ini,” tambah Datu Len lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol berkata RADDA memainkan peranan dalam merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan desa.

Selain itu RADDA tambahnya juga memberi fokus memantapkan sosioekonomi setiap kawasan di bawahnya yang dapat dibangunkan.

“Kita tidak boleh menggunakan kaedah-kaedah lama untuk memajukan kawasan luar bandar. Itulah sebabnya agensi seperti ini ditubuhkan.

“Saya tidak rasa negeri-negeri lain memiliki agensi seperti ini yang berfungsi merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar,” katanya.

Hadir sama ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dan ADUN Meluan Roland Duat Jubin. – EDISI UKAS

add comment