Serpihan Logam Disyaki Milik Roket Negara China Dijumpai Di Sepupok Niah

ISNIN, 1 OGOS 2022

MIRI: Ketua Polis Daerah (KPD) Miri Alexson Naga Chabu mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada penduduk di Batu Niah di sini berkaitan penemuan serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket milik negara China sepertimana yang dilaporkan dalam media massa sebelum ini. 

Dalam kenyataan medianya pada Isnin, tinjauan awal pihak polis mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang 1 meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk di situ. 

“Walau bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan telah meminta bantuan dari pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak MOSTI untuk menganalisa tempat kejadian,” katanya. 

Pihak Polis juga memaklumkan sedang menunggu kehadiran Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengesahkan sama ada objek tersebut adalah serpihan dari roket milik negara China atau tidak. 

Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana dibimbangi logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan. 

Sehingga kini, objek tersebut masih lagi berada di lokasi di mana ia dijumpai dan masih belum dialih atau dipindahkan ke tempat lain. 

Kawasan kejadian juga telah dipantau dengan rapi oleh pihak Polis dengan membuat kawalan 24 jam untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. 

Justeru, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ianya boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat serta disarankan untuk menghubungi Balai Polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang berlaku. -EDISI UKAS

add comment