Calon SPM Yang Gagal Subjek Teras Masih Berpeluang Dapat Sijil

SELASA, 2 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah masih mempunyai peluang lain untuk mendapat sijil tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, mereka boleh menduduki peperiksaan SPM Ulangan (SPMU) yang dilaksanakan pada setiap tahun.

“SPMU menawarkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik,’’ jelasnya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu katanya, mereka juga boleh menduduki peperiksaaan SPM sebagai calon persendirian pada tahun-tahun berikutnya.

“Keputusan ini boleh digabungkan dalam satu sijil peperiksaan melalui perkhidmatan ‘patching’ di mana mulai tahun 2009, calon yang memperoleh sijil SPM buat kali pertama layak untuk memohon perkhidmatan itu,’’ ujarnya lagi.

Menteri Kanan Pendidikan itu menegaskan, ia adalah sebagai langkah memastikan setiap calon masih berpeluang mendapatkan sijil SPM atau memperbaiki keputusan mereka demi memudahkan pelanjutan pengajian atau memohon pekerjaan pada masa depan.  -Edisi UKAS

add comment