Dato Sri Fatimah Saksi Penyerahan Rumah Seri Kenangan Sibu

SELASA, 2 OGOS 2022.

SIBU: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkesempatan menyaksikan majlis penyerahan Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu yang disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Sarawak Ir. Richard Tajan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Noriah Ahmad.

Dalam majis tersebut beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak jabatan atau agensi atas kejayaan pembinaan Rumah Seri Kenangan (RSK) tersebut.

“Rumah Seri Kenangan Sibu yang sebelum ini harus dibina semula kerana keadaan bangunan yang sudah terlalu usang dan memerlukan baik pulih bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penghuni sentiasa dijamin.

“Namun buat masa ini, pembinaan Rumah Seri Kenangan Sibu Fasa 2 masih dalam tempoh perancangan dan persiapan bagi memastikan segala keperluan projek ini ditepati,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Penyerahan RSK di Rumah Seri Kenangan Sibu di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menyeru pertubuhan seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan generasi muda untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti yang membawa manfaat fizikal dan mental kepada penghuni Rumah Seri Kenangan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan suasana komuniti sihat terutamanya di kawasan kuarters kediaman supaya penghuni dapat berinteraksi antara satu sama lain sekaligus mengurangkan rasa sunyi,” katanya.

Dalam majlis sama, turut diserahkan cek berjumlah RM3000 sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek yang disampaikan oleh Penasihat di Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dato Chieng Buong Toon kepada RSK Sibu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment