SELASA, 2 OGOS 2022
BARAM: Klinik Kesihatan Long Jekitan kini memiliki satu mesin peralatan perubatan iaitu mesin imbasan ultrabunyi mudah alih yang bernilai RM70,000.
Ia merupakan sumbangan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala yang telah diserahkan baru-baru ini kepada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman.
Dato Gerawat yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu berharap, masyarakat di Long Jekitan dan kampung-kampung sekitarnya akan mendapat manfaat yang besar daripada penggunaan peralatan itu.
“Peralatan perubatan tersebut diperlukan untuk melakukan imbasan ultrabunyi dalam pakej ringan yang dibawa tangan yang membolehkan kakitangan kesihatan menggunakannya untuk pesakit di kemudahan klinik terpencil seperti Klinik Kesihatan Long Jekitan,”katanya.
Klinik Kesihatan Long Jekitan merupakan kemudahan klinik kesihatan desa yang terletak di kawasan Ulu Baram yang mempunyai 11 kakitangan kesihatan.
Turut hadir, Ketua Pakar Perubatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr Maurice Steve Utap, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Long Jekitan Dr Wayne, dan Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai.-EDISI UKAS