Penduduk Kampung Seberang Hilir Jadi Kumpulan Pertama Pindah Ke Darul Hana Pada 22 Ogos ini

SELASA, 2 OGOS 2022

KOTA SAMARAHAN: Penduduk dari Kampung di Seberang Hilir menjadi kumpulan pertama yang akan berpindah ke penempatan projek pembangunan Darul Hana bermula 22 Ogos ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kumpulan pertama tersebut merangkumi penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Lot Tambahan. 

Katanya, kira-kira sebanyak 337 ketua isi rumah akan menjadi kumpulan pertama yang akan berpindah ke kawasan itu di mana penyerahan kunci rumah, geran tanah dan pampasan perpindahan dijangka bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Penangguhan Seminar Zakat sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat Sarawak, di UNIMAS, Kota Samarahan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu beliau menambah, segala kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air sudah disediakan dan lengkap serta para penduduk tidak perlu membuat permohonan bagi penyambungan elektrik ataupun air. – EDISI UKAS

add comment