Mohd Ridzuan Abdullah Wakili Sarawak Dalam Kejohanan Golf Bawah 12 Tahun MSSM 2022

RABU, 3 OGOS 2022

MIRI: Kejayaan pemain muda seperti Mohd Ridzuan Abdullah yang akan mewakili Sarawak ke Kejohanan Golf Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 di Labuan International Golf Course pada 4 hingga 7 September 2022 wajar diberikan perhatian. 

Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, mereka ini merupakan pelapis kepada Sarawak selain daripada pemain yang sedia ada ketika ini. 

“Penglibatan Ridzuan ke arena kebangsaan dalam Kejohanan Golf Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 wajar diberikan perhatian khusus.

“Ini kerana, pelapis muda dalam sukan golf perlu diberikan bantuan dan bimbingan oleh pihak yang berkenaan bagi memastikan golongan ini mampu meraih kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi sehinggalah ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Mohd Ridzuan di pejabatnya pada Selasa. 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Ridzuan yang akan membawa cabaran dan nama Bahagian Miri dan SK Anchi ke peringkat nasional dalam sukan golf. 

Sementara itu, Ridzuan, 12 tahun merupakan murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi Miri mula menceburi sukan golf ketika berumur 7 tahun lagi.

Menurut datuknya, Datuk Ibrahim Ahmad Darvesh Mohd Deen, 87 tahun, suka-suka bermain membuat pukulan dengan ‘driver’ di ruang letak kereta rumah.

“Saya melihat potensi cucu saya Ridzuan semasa kecil dan pada waktu itu saya turut membawa cucu saya untuk bersama-sama bermain golf.

“Saya berharap agar Ridzuan berjaya mengharumkan nama Sarawak pada kejohanan kali ini dan semoga terus berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya. 

Ridzuan yang merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik ini telah mula bermain sejak 2017 dan menjadi ahli junior Kelab Golf Miri (KGM) sejak 2018. 

Sepanjang penglibatannya dalam sukan golf ini, beliau telah berjaya memenangi beberapa kejohanan golf dan dibimbing oleh jurulatih peribadi Abu Bagat merangkap ‘caddie’ peribadi serta bantuan daripada Pegawai Sukan Sri Bima Mohd dan Basri Buang.

Hadir sama Pengurus Asset Management (Marine) Sribima (M) Shipping Sdn Bhd Mzalina Ibrahim Ahmad.-EDISI UKAS

add comment