19 Pelajar Sekolah Bintulu Wakili Sarawak Di Kejohanan Taekwondo Kebangsaan TM (WTF) Ke-12-NSC-MILO 2022 & Pemilihan Sukan SEA

KHAMIS, 4 OGOS 2022

BINTULU: Seramai 19 orang pelajar dari pelbagai sekolah di sini akan mengikuti Kejohanan Taekwondo Kebangsaan TM (WTF) Ke-12-NSC-MILO 2022 & Pemilihan Sukan SEA yang akan diadakan pada 5 hingga 7 Ogos 2022 di Wisma Sukan Arena, Majlis Sukan Olimpik (OCM ), Kuala Lumpur.

Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Samri Suhaili, penyertaan mereka itu amat membanggakan seluruh Jabatan Pendidikan Bintulu dan semua sekolah di Bintulu.

“Pejabat Pendidikan Bintulu amat berbangga kerana ramai pelajar kita yang mewakili pelbagai jenis sukan dan terutamanya taekwondo pada setiap tahun.

“Sepanjang masa kita melahirkan atlet-atlet yang bukan saja bertanding di peringkat Sarawak, tetapi yang bersaing di peringkat antarabangsa.

“Saya juga telah dimaklumkan pasukan taekwondo kita di Vietnam telah mendapat pinggat emas, perak dan sebagainya di mana sukan taekwondo merupakan sukan yang paling aktif di bahagian Bintulu pada masa ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Bendera Sarawak Kejohanan Taekwondo Kebangsaan TM (WTF) Ke-12-NSC-MILO 2022 & Pemilihan Sukan SEA di Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu pada Rabu.

Seramai 25 orang murid dari seluruh negeri akan mewakili Sarawak di kejohanan itu.

Hadir sama Penasihat Kelab Taekwondo Smart (WTF) Datuk Pui Kian Onn, Pengarah Kolej Vokasional Bintulu, Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah di Bintulu, Pegawai Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak Bahagian Bintulu Joline Leong, Penasihat WTF Firdaus Aziz Abdullah, Pengerusi WTF Raja Zahari Raja Yusof dan Timbalan Pengerusi WTF Puyang Ngau Wan.-EDISI UKAS

add comment