Biasiswa Ibnu Khaldun Akan Biayai Pengajian Anak-Anak Islam Ke Universiti Terkemuka Dunia

KHAMIS, 4 OGOS 2022

LIMBANG: Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga akan terus menaik taraf dan membangunkan surau dan masjid serta memperkukuhkan lagi Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) untuk pengajian dan pendidikan anak-anak Islam.

Premeir Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengajian dan pendidikan ini akan dilaksanakan di bawah biasiswa Ibnu Khaldun. 

“Saya telah arahkan Tabung Baitulmal Sarawak untuk memberikan peruntukan di bawah biasiswa Ibnu Khaldun bagi kita menghantarkan anak-anak Islam ke universiti terkemuka di dunia ini termasuklah  universiti Harvard, Oxford, Cambridge dan Stamford dalam jurusan-jurusan yang sangat penting dalam ekonomi baharu dunia hari ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang pada Rabu.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pembiayaan ini termasuklah di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam beberapa jurusan tertentu supaya dapat melahirkan anak-anak Islam yang berwibawa dan berpengaruh dari sudut pendidikan dalam melahirkan intelektual bertaraf dunia. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang. -EDISI UKAS

add comment