Kemajuan Fasa 1 Projek LPB Sarawak Capai 84 Peratus

KHAMIS, 4 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Fasa satu bagi pembangunan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kini mencapai 84 peratus siap setakat Jun 2022.

Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof memberitahu, fasa 1 bagi projek ini yang bermula dari Telok Melano ke Miri sepanjang 786 kilometer (km) dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2023.

Beliau menjelaskan, beberapa pakej dan seksyen telah dibuka untuk pengguna jalan raya secara berperingkat seawal 2019.

“Antara pakej dan seksyen yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya secara berperingkat adalah Pakej Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019; dan Seksyen Julau bagi Pakej Kerja 07, Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau sepanjang 29 km yang telah siap pada 28 Oktober 2021.

“Manakala Seksyen Serian bagi Pakej Kerja 03 sepanjang 33 km, Bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021; Seksyen Nyabau bagi Pakej Kerja 10, Simpang Nyabau ke Sungai Tangap sepanjang 1.2 km telah siap pada 26 Januari 2022; dan Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja 11, Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link sepanjang 15.9 km telah siap pada 2 Julai 2022,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Dato Sri Fadillah menambah, seperti projek-projek lain, prestasi kemajuan kerja pembinaan Projek LPB Sarawak turut terkesan akibat kekurangan pekerja dan bahan binaan susulan daripada pandemik COVID-19 dan impak ekonomi global pada masa kini.

“Sehubungan itu, pelbagai pelan mitigasi sedang dilaksanakan termasuk penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan projek ini,” ujarnya lagi.

Beliau mengulas lanjut, Kementerian Kerja Raya turut mengambil langkah proaktif untuk memantau prestasi kemajuan secara berterusan melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor dan perunding yang terlibat.-EDISI UKAS

add comment