Klinik Kesihatan Kampung Semop Dijangka Siap April 2023

KHAMIS, 4 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Pembinaan Klinik Kesihatan di Kampung Semop di Pulau Bruit dijangka akan siap pada 3 April 2023.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerja-kerja pembinaan klinik berkenaan telah dimulakan pada 4 Oktober 2021.

“Sehingga 30 Jun 2022, kemajuan fizikal projek telah mencapai 24 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd. Wahab dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, beliau memberitahu, kesemua klinik kesihatan di Parlimen Tanjung Manis mempunyai perancangan yang sistematik dalam menghadapi penularan wabak penyakit berjangkit.

“Semua kes positif COVID-19 akan dirujuk kepada Pusat Penilaian COVID-19 iaitu di Klinik Kesihatan Tanjung Manis bagi Daerah Tanjung Manis, dan Klinik Kesihatan Daro bagi Daerah Daro untuk klinik-klinik kesihatan di Pulau Bruit.

“Perkhidmatan yang diberikan termasuk rawatan, pemantauan setiap kes dan rujukan ke hospital jika perlu.

“Aktiviti pengesanan kontak, kawalan dan pencegahan turut dijalankan oleh pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Tanjung Manis dan Pejabat Kesihatan Daerah Daro,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, dua hospital di Parlimen Tanjong Manis iaitu Hospital Sarikei dan Hospital Mukah merupakan Hospital Hibrid COVID-19.

“Hospital Sarikei yang merupakan sebuah Hospital Pakar Minor berkapasiti 212 katil telah mengkhaskan sebanyak 64 katil sebagai katil COVID-19.

“Manakala Hospital Mukah yang merupakan sebuah Hospital Tanpa Pakar berkapasiti 80 katil pula telah mengkhaskan sebanyak 14 katil sebagai katil COVID-19,” ujar Khairy. -EDISI UKAS

add comment