MAKSAK Bintulu Sasar Ke Perlawanan Akhir Sukan Tenis MAKSAK Sarawak

KHAMIS, 4 OGOS 2022

BINTULU: Majlis Kebajikan dan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) telah melantik Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sebagai Pengerusi Sukan Tenis MAKSAK Sarawak.

Pada tahun ini, MAKSAK Bahagian Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan MAKSAK Sarawak Games 2022-Tenis Antara Bahagian Sarawak.

Setiausaha MAKSAK Bintulu Harun Hattan berkata, sebanyak 11 bahagian telah mengesahkan pertandingan ini kecuali Bahagian Serikei. 

Terdahulu, pasukan MAKSAK Bintulu telah mengunjungi dan mendengar amanat daripada Pengerusi MAKSAK Bintulu yang  juga Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat di pejabatnya di sini pada Rabu. 

Sementara itu, Pengurus Pasukan Tenis MAKSAK Bahagian Bintulu Denis Mudit memberitahu sasaran MAKSAK Bintulu kali ini untuk layak ke perlawanan akhir di setiap kategori yang dipertandingkan.

MAKSAK Bintulu akan menghantar 11 orang untuk bertanding di semua kategori yang dipertandingkan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Perseorangan Lelaki (Terbuka), Perseorangan Lelaki Veteran, Beregu Lelaki Veteran, Beregu Campuran dan Beregu Lelaki. 

Sehubungan itu, MAKSAK Bahagian Bintulu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Bintulu Division Lawn Tennis Association (BDLTA) ingin menjemput orang ramai menyaksikan kejohanan tersebut pada 5 hingga 7 Ogos ini di Kelab Kidurong Bintulu (Gelanggang Utama), Pusat Sukan Kidurong BDA, UPM Kampus Bintulu, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu.

Turut sama hadir jurulatih MAKSAK Bintulu Paujan Amin.-EDISI UKAS

add comment