Pemilik & Pemandu Bot Pelancongan Perlu Miliki Permit, Sijil Tauliah Serta Insurans

KHAMIS, 4 OGOS 2022

BARAM: Pemilik dan pemandu bot pelancongan perlu memiliki permit, sijil tauliah dan insurans yang sah untuk menggunakan bot mereka.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep berkata, ia penting untuk menjamin keselamatan penumpang, sekaligus membantu dalam meningkatkan jumlah kedatangan pelancong terutamanya ke Taman Negara Loagan Bunut, Tinjar.

“Ini merupakan perkara penting kerana perkhidmatan bot di sini main peranan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke taman negara ini,” katanya dalam Program Kebersihan Dan Keselamatan Sungai dan Majlis Penyerahan Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 di Taman Negara Loagan Bunut, Tinjar pada Rabu.

Dato Henry Harry menambah, pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sentiasa bekerjasama bagi menambah baik aspek keselamatan pelancong yang melawat ke Taman Negara itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu juga menyeru agar kawasan-kawasan tarikan pelancong di negeri ini terus ditambah baik untuk terus menarik kedatangan pelancong luar.

Dalam majlis sama, Dato Henry telah menyerahkan cek Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 berjumlah RM500 seorang kepada empat pemilik dan pemandu bot yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19.

Selain itu, beliau turut menyerahkan jaket keselamatan kepada 34 orang pengguna sungai di kawasan berkenaan.

Sejurus selepas program, Dato Henry Harry meninjau ke kawasan tasik Loagan Bunut, inap desa, perkuburan lama “Lejeng” serta melihat sendiri peralatan menangkap ikan tradisional iaitu “Selambau”.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr Murni Suhaili, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Pemanca Kane Manong, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Teo Swee Ann, Pemangku Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Lt Kolonel (Bersara) Ding Tiew Wong, dan Penolong Pengurus Pelabuhan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Miri Mohd Ariffin Bujang. -EDISI UKAS

add comment