Semua Sekolah Rendah Di DUN Nangka Akan Dilengkapi Smart TV

KHAMIS, 4 OGOS 2022

SIBU: Semua sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka akan dilengkapi dengan Smart TV bagi memudahkan sesi pembelajaran murid-murid.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I merangkap ADUN Nangka, Dr. Annuar Rapaee, beliau bercadang untuk mengagihkan Smart TV di setiap bilik darjah di semua sekolah rendah di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, pemberian Smart TV itu tidak termasuk sekolah pendidikan khas kerana sekolah tersebut mempunyai keperluan berbeza berbanding sekolah-sekolah biasa.

“Dengan adanya Smart TV, pelajar akan lebih mudah mengikuti pelajaran mereka. Bagi guru pula, ia akan memudahkan mereka dalam pengajaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Baucer Pakaian Seragam Yayasan Sarawak di Kampung Bahagia Jaya Teku pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Annuar menambah beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM57,000 untuk membantu pelajar di kawasannya menguasai kemahiran membaca dan mengira.

Menurut beliau, hampir seribu murid Tahun 2 dan 3 dari sembilan sekolah di kawasannya menghadapi masalah mengejar pelajaran berikutan kesan pandemik Covid-19.

“Saya telah berbincang dengan sembilan orang guru besar sekolah tentang cara-cara untuk membantu pelajar meningkatkan tahap penguasaan mereka yang begitu rendah dalam membaca atau mengira,” katanya.

Dr Annuar berkata, bantuan yang diluluskannya itu adalah untuk membantu pelajar berkenaan mendapat tuisyen dan bantuan guru membeli peralatan mengajar seperti buku latihan yang extra.

“Jika masalah pelajar ini tidak ditangani segera mereka akan terus ketinggalan kerana mereka sangat lemah dalam semua mata pelajaran kerana tidak dapat menguasai bacaan dan mengira.

“Justeru, saya meluluskan peruntukan untuk tujuan itu saya akan mengeluarkan cek pada hari ini,” katanya lagi.

Seramai 707 orang murid dari 43 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah dalam kawasan DUN Nangka menerima bantuan pakaian seragam Yayasan Sarawak.

Sementara itu, wakil Pengarah Yayasan Sarawak Mahathir Mohamad berkata pada tahun ini, Yayasan Sarawak menyediakan sejumlah 26,175 keping baucar untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah tersebut katanya, Yayasan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak 2,800 keping baucar untuk Bahagian Sibu. – EDISI UKAS

add comment