Tapak Tanah Telah Diperuntuk Bagi Pembinaan Balai Bomba Sungai Asap

KHAMIS, 4 OGOS 2022

KUALA LUMPUR: Satu tapak tanah di Lot 980, Blok 26, Punan Land District dengan keluasan 1.028 hektar telah diperuntuk bagi tujuan pembinaan balai bomba kategori E di kawasan Sungai Asap.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementeriannya telah membuat permohonan projek pembinaan balai tersebut dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) Rolling Plan Ketiga (RP3) tahun 2023.

“Walau bagaimanapun, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Asap ini bergantung kepada kelulusan serta peruntukan kewangan semasa agensi pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong mengenai status cadangan pembinaan balai bomba di Pekan Sungai Asap Belaga dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Dato’ Sri Reezal Merican menambah, kawasan Sungai Asap kini mendapat perlindungan kebakaran daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro Liling dengan kekuatan anggota seramai 27 orang serta dilengkapi dengan sebuah kenderaan bomba sukarela bersama peralatan asas bagi kerja-kerja pemadaman.

Ujar beliau lagi, dalam mempertingkatkan aspek keselamatan kebakaran di kawasan itu, perancangan juga telah dibuat bagi memperluaskan penubuhan Bomba Komuniti.

Selain itu katanya, pelaksanaan kempen kesedaran keselamatan kebakaran akan terus dipergiat melalui program Satu Rumah Satu Alat pemadam Api (1RAPI), Sedia Urus Isi Rumah (SURI) dan penyediaan alat pengesan asap serta gas (MyAlert).

Beliau mengulas lanjut, kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan terus memantapkan hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam mengadakan latihan dan aktiviti pencegahan di kawasan-kawasan rumah panjang atau pedalaman. -EDISIUKAS

add comment