11 Bahagian Dari Pelbagai Agensi Kerajaan Sertai Kejohanan Sukan Tenis MAKSAK Sarawak

JUMAAT, 5 OGOS 2022


BINTULU: Sebanyak 11 bahagian daripada pelbagai agensi kerajaan dan persekutuan serta badan berkanun telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Sukan Tenis Majlis Kebajikan dan Anggota- anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Sarawak 2022. 

Menurut Pengerusi MAKSAK Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman Luat, kejohanan tersebut akan berlangsung selama 3 hari bermula 5 hingga 7 Ogos ini. 

“Kejohanan Sukan Tenis MAKSAK Sarawak 2022 antara Bahagian Sarawak ini dianjurkan bertujuan sebagai platform untuk memilih pemain-pemain tenis lelaki dan wanita yang berbakat. 

“Ia bagi membentuk pasukan tenis yang akan mewakili MAKSAK Sarawak dalam peringkat kebangsaan di mana Kuching akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan itu nanti pada bulan September,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Tenis MAKSAK Sarawak Antara Bahagian di Hotel Promanade Bintulu pada Khamis. 

Datu Jack yang juga merangkap Residen Bahagian Bintulu itu turut menambah, kejohanan sukan ini dianjurkan adalah satu usaha untuk mewujudkan semangat setiakawan, semangat muafakat dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu tujuan untuk dikongsi bersama-sama.

Selain itu katanya, kejohanan sukan yang diadakan seperti ini, dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim di antara pegawai-pegawai kerajaan. 

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar pertandingan seperti ini dapat diteruskan dengan mengetengahkan juga sukan lain dan dijadikan acara tetap tahunan di Bintulu. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu Harun Hatta dan  Koordinator Sukan Tenis MAKSAK 2022 merangkap Pengerusi Pengelola Jawatankuasa Penganjuran MAKSAK Sarawak 2022 Tenis Antara Bahagian Sarawak Ahmad Ghazi.-EDISI UKAS

add comment