41 Pemilik & Pemandu Bot Di Mulu Terima BKSS 8.0

JUMAAT, 5 OGOS 2022

BARAM: Seramai 41 orang pemilik serta pemandu bot di Mulu telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang melalui pemberian Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep dalam Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai dan Majlis Penyerahan BKSS 8.0 bertempat di Mulu Marriot Hotel and Spa di sini pada Selasa.

Dato Henry turut menyampaikan jaket keselamatan kepada para penerima.

Sementara itu, beliau dalam ucapannya memberitahu, sudah tiba masanya sebuah Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak ditempatkan di Daerah Kecil Mulu.

“Ini adalah bagi memastikan kebajikan serta keselamatan penduduk di sini akan terjaga.

“Dalam pada itu, ianya akan dilakukan seberapa segera yang boleh,” ujarnya.

Difahamkan, program kesedaran itu dimulakan dengan sesi ceramah oleh seorang pegawai dari Ibu Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Angga Maga.

Ia bertujuan menekankan kepentingan pengusaha bot-bot pelancong menjaga keselamatan pelancong-pelancong yang melawat Taman Negara Mulu.

Sehubungan itu, para peserta turut diingatkan supaya memastikan laluan sungai sentiasa bersih dan selamat untuk dilalui bot-bot pelancong.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala; Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Dr Murni Bin Suhaili; wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Teo Swee Ann; Pemangku Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Leftenen Kolonel Ding Tiew Wong dan Pegawai Daerah Marudi, Belayong Pok. – EDISI UKAS

add comment