Aset PKRC Bahagian Sri Aman Bakal Diagih Kepada Sembilan Sekolah Berasrama

JUMAAT, 5 OGOS 2022

SRI AMAN: Aset dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bahagian Sri Aman akan diagihkan kepada sembilan buah sekolah berasrama yang memerlukan.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ng Klassen, SK Batu Lintang, SK Paku, SK Ng Skrang, SK Melugu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu, SMK Simanggang, SMK St Luke dan SMK Sri Aman.

Majlis penyerahan aset berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan diserahkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Francis merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat khususnya pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman yang telah menguruskan PKRC ketika menghadapi wabak COVID-19.

“Kerjasama utuh di antara agensi kerajaan di Bahagian Sri Aman yang di ketuai oleh Residen Bahagian Sri Aman telah membantu kita menangani pandemik Covid-19,” katanya. -EDISI UKAS

add comment