Datuk Aaron Rasmikan Sambutan Hari Pahlawan Negeri Sarawak Peringkat Daerah Kanowit

JUMAAT, 5 OGOS 2022

KANOWIT: Sambutan Hari Pahlawan Negeri Sarawak Peringkat Daerah Kanowit telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang di Dataran Kubu Emma baru-baru ini.

Jelas Datuk Aaron, setelah berdepan dengan pandemik COVID-19 selama dua tahun, sambutan ini tidak dapat dilakukan secara fizikal.

“Di Sarawak ada tiga tugu pahlawan iaitu di Kuching, Lundu dan Kanowit dan kita bertuah mempunyai tugu di mana setiap tahun bersama-sama ke tempat ini untuk merayakan Hari Pahlawan yang diisytiharkan pada setiap 31 Julai,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sambutan ini turut memperingati pahlawan negara yang terkorban ketika mempertahankan tanah air dan memberi semangat kepada anggota yang masih berkhidmat bagi menjaga kedaulatan negara serta barisan hadapan yang menjayakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperintahkan oleh kerajaan ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Ketika ditemui, Datuk Aaron turut menyentuh mengenai Rajang Area Security Command (RASCOM) yang ditubuhkan pada tahun 1972 berdasarkan kepada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan serta kemusnahan harta awam di bahagian ke tiga oleh Parti Komunis Kalimantan Utara (PPKU).

Jelasnya, sebagai wakil rakyat beliau telah pun memohon perancangan teliti bagi kawasan ini untuk dibangunkan serta mengeluarkan plan tindakan yang telah dipersetujui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur mewakili Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak (PVTMS) dan Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia Bahagian Kanowit, Juat Jagok menyeru kepada masyarakat khasnya untuk menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh para pahlawan terdahulu.

“Nikmat, kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang dikecapi kini tidak datang dengan sendirinya, ini semuanya hasil daripada pengorbanan para pahlawan negara yang kita cintai ini,” katanya.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Kanowit Cassylia Benet, wakil Panglima Ke-31 Infantri Leftenan Kolonel Shapirun Hashim, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong, Presiden PVTMS Francis Yeo Wan Hui dan Penyelia UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang.-EDISI UKAS

add comment