Isu Keselamatan Di Sarawak Jadi Keutamaan: Datuk Seri Hishammuddin

JUMAAT, 5 OGOS 2022

KUCHING: Menteri Pertahanan Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa keselamatan di Sarawak akan sentiasa menjadi keutamaannya.

Sehubungan itu, beliau berkata inisiatif keselamatan dan persiapan pertahanan di Sarawak akan dibincang dalam pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.

“Keselamatan Sarawak adalah satu isu yang kami tidak akan berkompromi dan saya akan berbincang bersama Premier Sarawak mengenai apa yang diperlukan untuk mengukuhkan keselamatan dan memperkukuh pertahanan.

“Kami mahu meyakinkan rakyat Sarawak dalam apa jua keadaan mereka, bahawa mereka boleh bergantung kepada Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan (MINDEF),”katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Poliklinik ATM Kem Penrissen, Kuching pada Jumaat. 

Ditanya mengenai kesiapsiagaan tentera di Sarawak, Datuk Seri Hishammuddin berkata terdapat banyak aspek yang perlu dilihat. 

“Dari segi aset, saya akan berbincang dengan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari kerana ada perkara yang boleh diumumkan, dan ada perkara yang tidak boleh diumumkan, terutama yang berkaitan dengan persiapan keselamatan,” katanya. 

Tambahnya lagi, dari segi tenaga kerja, beliau telah dimaklumkan mengenai Sarawak mempunyai anggota tentera yang mencukupi.

“Apa yang penting sekarang ialah bagaimana untuk meningkatkan semangat kakitangan.

“Antara perkara yang boleh dilakukan ialah menaik taraf kem sedia ada, dan jika perlu, kem baharu perlu dibina,” katanya. 

Selain itu katanya, Isu-isu seperti ini perlu diambil kira, jika kita melihat kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera dan untuk masa depan yang lebih baik bagi keselamatan di Sarawak. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain. -EDISI UKAS

add comment