JUMAAT, 5 OGOS 2022
LIMBANG: Daerah Limbang akan terus menikmati pembangunan yang berterusan di bawah pentadbiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, selain Waterfornt Limbang yang merupakan terpanjang di Sarawak, satu lagi projek pembangunan yang sedang dibina iaitu Pusat Pentadbiran Bersepadu Limbang yang menempatkan pejabat jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak di Ragau.
“Kita berterima kasih dengan usaha Kerajaan Sarawak kerana banyak lagi projek-projek pembangunan yang sedang dalam pembinaan termasuk yang terbaru adalah Pusat Pentadbiran Bersepadu Limbang di Ragau.
“Ia akan menempatkan pejabat-pejabat Kerajaan Sarawak di sana dan banyak lagi yang sedang dan akan dilaksanakan di Sarawak termasuk di Limbang ini,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Muzium Limbang di sini pada Khamis.
Mengenai Muzium Limbang ini, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu pembinaannya adalah untuk memperingati kelahiran Premier Sarawak selain mempamerkan sejarah Limbang.
“Sejarahnya Muzium Limbang ini sebenarnya adalah untuk memperingati tempat kelahiran Primer Sarawak.
“Muzium itu dibina semula dengan menyerupai reka bentuk tempat beliau dilahirkan iaitu kuarters Pegawai Daerah dahulu.
“Saya rasa Premier Sarawak akan berasa nostalgia pada waktu beliau berada di sini dahulu,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau juga memohon dibina jalan menuju ke Muzium Limbang dan Taman Tasik Bukit Mas yang kini sangat curam dan dapat dibina jalan dua hala yang kurang curam dengan kos RM6 juta.
Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Il Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.-EDISI UKAS