Muzium Limbang Tarikan Terbaru Pamer Pembangunan Sejarah Daerah Limbang

JUMAAT, 5 OGOS 2022

LIMBANG: Muzium merupakan suatu tempat yang sangat bermakna kepada generasi akan datang bagi melihat proses pembangunan sesuatu tempat dan sejarah yang berlaku sebelum ini. 

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pembinaan Muzium Limbang ini sangat signifikan dalam mempamerkan proses pembangunan daerah Limbang dari segi sejarah pembukaannya dan pentadbirannya yang bersempadan dengan Brunei Darussalam. 

“Sedikit sebanyak untuk kita mendapat mempamerkan proses pembangunan kawasan Limbang ini daripada Limbang daripada sebuah pekan yang kecil dari segi pentadbiran, pembangunan dan seterusnya.

“Selain daripada itu cukup menarik sekali apabila lokasi dan tapak Muzium Limbang merupakan tempat Premier Sarawak dilahirkan.

“Muzium Limbang ini bukan sahaja untuk Premier, tapi lebih untuk rakyat dan secara kebetulan itulah tempat lahirnya pemimpin agung kita ini,” katanya. 

Beliau berucap di Majlis Perasmian Muzium Limbang di sini pada Khamis. 

Projek pembinaan Muzium Limbang ini telah bermula pada tahun 2019 dengan kos keseluruhan RM6.39 juta dan merupakan satu projek di bawah rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). 

Seni bina muzium ini diinspirasi berdasarkan Rumah Kuarters Kerajaan dan telah menjadi saksi kepada kelahiran tokoh pemimpin Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai dua bangunan iaitu Galeri Pentadbiran dan Galeri Pembangunan. 

Di dalam galeri tersebut menempatkan sejarah pentadbiran dan pembangunan bermula dari era Brooke dan diikuti dengan perubahan sosiekonomi di Limbang, Trusan dan Lawas serta mempunyai ruang pameran, kedai cenderamata, galeri kanak-kanak dan ruang pejabat. 

Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim turut menjelaskan bahawa Muzium Budaya Borneo yang terletak di Kuching yang merupakan kedua terbesar di Asia Tenggara dan terbesar di Malaysia itu masih lagi mendapat perhatian daripada pengunjung sama ada dari pengunjung tempatan dan luar Sarawak. 

Sehingga kini, lebih 380,000 pengunjung telah mengunjungi Muzium Budaya Borneo sejak mula dibuka kepada orang ramai pada 9 Mac lepas. 

“Sehinga hari ini, lebih kurang 5 bulan selepas perasmian pada 4 Mac 2022 dan dibuka kepada orang ramai pada 9 Mac sehingga hari ini jumlah pengunjung yang telah melawat Muzium Budaya Borneo telah menjangkau lebih 380,000,” jelas beliau lagi. 

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Il Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew,  Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.-EDISI UKAS

add comment