Poliklinik Kesihatan ATM, Kem Penrissen Yang Pertama Di Malaysia Mula Beroperasi Hari Ini

JUMAAT, 5 OGOS 2022

KUCHING: Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen yang pertama seumpamanya di Malaysia mula beroperasi hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembukaan Poliklinik Kesihatan ATM itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira lebih 12,000 anggota ATM, keluarga serta veteran ATM di negeri ini.

Menurutnya, projek perintis yang mula dibangunkan pada November 2017 ini bakal menempatkan khidmat doktor pakar perubatan dan pakar pergigian termasuk kemudahan pesakit luar dan wad.

“Ia merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bersama ATM yang ditubuhkan bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hospital kerajaan di Kuching. 

“Selain itu, ia antara usaha bagi meningkatkan moral anggota tentera yang berkorban masa dan tenaga menjaga keamanan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Poliklinik ATM Kem Penrissen, Kuching pada Jumaat. 

Tambahnya lagi, selagi beliau menjadi Menteri Pertahanan, isu kebajikan anggota dan veteran tentera terus menjadi keutamaan dan menjamin ia tidak bermusim dan tidak berkisar soal politik. 

Sehubungan itu, susulan kejayaan pembinaan Poliklinik Kesihatan ATM pertama di Kem Penrissen, empat lagi fasiliti kesihatan sama akan dibina di Seberang Takir, Terengganu, Sungai Petani, Kedah, Kluang, Johor dan Kuantan, Pahang, tidak lama lagi.

Datuk Seri Hishammuddin dalam pada itu merayu kepada pihak swasta termasuk syarikat minyak dan gas (O&G) supaya tampil membantu Kementerian Pertahanan dalam menyediakan fasiliti kesihatan itu serta menyumbang peralatan yang diperlukan di poliklinik berkenaan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain.-EDISI UKAS

add comment