Premier Sarawak Saksi Penyerahan Zakat Perniagaan Maybank Islamic

JUMAAT, 5 OGOS 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Maybank Islamic yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dato’ Khairussaleh Ramli di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.

Penyerahan zakat disampaikan oleh Dato Khairussaleh kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha yang mewakili Tabung Baitulmal Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM1.16 juta bagi tahun kewangan 2021.

Menurut Dato Khairussaleh, agihan zakat perniagaan tersebut adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat perniagaan Maybank Islamic sebanyak RM8.94 juta yang telah diagih kepada seluruh Pejabat Agama Islam di Malaysia.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican, Maybank Islamic dan Maybank Kumpulan menyediakan perkhidmatan di semua negeri di Malaysia, oleh itu Sarawak juga tidak terlepas mendapat faedah daripada zakat yang dikeluarkan.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global, Dato’ Muzaffar Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Dato’ John Chong dan Pengarah Wilayah Sarawak, Abang Jamili Abang Julai.-EDISI UKAS

add comment