100 Penjawat Awam Sertai Program Kayuhan ‘Fun Ride’ Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022

SABTU, 6 OGOS 2022

KUCHING: Seramai 100 orang penjawat awam menyertai Program Kayuhan ‘Fun Ride’ sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sarawak 2022 bertempat di Padang Merdeka di sini pada pagi Sabtu.

Program berkenaan turut disertai agensi dan jabatan daripada kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri yang membabitkan kayuhan sejauh 8.6 kilometer bermula dari Padang Merdeka dan berakhir di Waterfront Kuching.

Para peserta dilepaskan pada jam 7 pagi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.

Menurut Sekretariat Program ‘Fun Ride’ JAKM Negeri Sarawak 2022, Nazrie Abdullah program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada para penjawat awam. 

“Kami menjangkakan sekitar 100 orang peserta yang menyertai program ini, tetapi penyertaan pada kali ini melebihi sasaran kami,” katanya.

Program kayuhan tersebut merupakan anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).

Ia turut disertai Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Seri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan ketua-ketua jabatan. – EDISI UKAS

add comment