Gedong, Simunjan Miliki Barisan Kepimpinan Berpandangan Jauh, Pacu Pembangunan Untuk Rakyat

SABTU, 6 OGOS 2022

GEDONG: Pembangunan di konstituensi Gedong dan Simunjan dapat dilaksanakan dengan jaya menerusi barisan kepimpinan yang berpandangan jauh.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan projek yang telah diumumkan dan yang dalam perancangan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

“Perancangan telah dibuat dan hanya menunggu waktu untuk dilaksanakan apa yang telah dirancang kerana sememangnya hendak menjadikan Gedong dan kawasan sekitarnya termasuk Simunjan sehingga ke Sebuyau akan menjadi kawasan pembangunan yang lengkap seperti adanya jalan raya, pertanian moden dan juga kemudahan asas yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Apresiasi Bersama Pemimpin DUN N26 Gedong di Raia Hotel & Convention Centre Kuching, pada Jumaat.

Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu menambah, kawasan Gedong dan Simunjan mempunyai potensi untuk menghasilkan sektor pertanian moden dan akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, majlis aspresiasi itu adalah untuk mengeratkan silaturahim di kalangan pemimpin dan ahli-ahli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, ia sebagai peluang untuk mendengar perkongsian dan pengalaman daripada pemimpin dahulu yang telah membangunkan kawasan Gedong secara progresif.

Dalam pada itu, Dato Sri Nancy berkesempatan merakamkan penghargaan kepada Mantan ADUN Gedong, Datuk Naroden Majais dan pemimpin sebelum ini atas pengorbanan yang telah dilaksanakan bagi membawa pembangunan ke kawasan Gedong.

Dalam program sama, Premier Sarawak turut menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Ahli Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N26 Gedong.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Eksekutif PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Naib Ketua PBB Cawangan Gedong, Ali Bujang dan Pegawai Daerah Gedong, Abdul Khalid Manap. EDISI UKAS

add comment