Kerajaan Negeri Komited Wujudkan Bandar Pintar Di Sarawak

SABTU, 6 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk mewujudkan bandar pintar di negeri ini terutama sekali di bandaraya Kuching.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ke arah itu kerajaan merancang untuk menambah baik pengangkutan awam di setiap bandar.

Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, ini kerana pengangkutan awam mencerminkan standard untuk sesebuah bandar.

“Kerajaan Negeri memulakan pengangkutan awam pintar menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen termasuk bas serta Transit Aliran Autonomi (ART),” katanya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Bandaraya Kuching Ke-34 di Kuching pada Sabtu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, ia bukan sahaja akan meliputi Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan bahkan ke Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Majlis Perbandaran Padawan.

Menurut Premier Sarawak lagi, walaupun ia mungkin menelan belanja yang agak besar, tetapi beliau percaya Sarawak mampu melakukannya untuk mengangkat status Kuching sebagai bandaraya pintar dan maju di negeri ini.

Antara yang hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian serta isteri Datin Sri Enn Ong Siok Ean, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Undang-Undang, Perjajian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Dr. Sabariah Putih dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

add comment