Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Sarawak Perkukuh Kerjasama Dalam Konteks Pertahanan

SABTU, 6 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus berusaha mengukuhkan hubungan dengan Kerajaan Sarawak menerusi kerjasama yang lebih erat dan menyeluruh terutama dalam konteks pertahanan serta keselamatan.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, fokus MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah pudar untuk terus melaksanakan perancangan terbaik demi meningkatkan tahap pertahanan ATM di seluruh negeri ini.

Jelasnya, antara perancangan terbaru ATM adalah meningkatkan keberadaaan anggota dan aset dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan khususnya di Bintulu bagi membolehkan ATM meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan maritim sekaligus memastikan instalasi strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman.

“Seperti saya maklumkan semalam (Jumaat), demi memastikan usaha memelihara kedaulatan perairan di Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih holistik, Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 dirancang untuk dibina secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13,” katanya menerusi kenyataan media, pada Sabtu.

Selain itu, Dato’ Seri Hishammuddin menambah, bagi pengukuhan pertahanan di sempadan, atur gerak anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS) mencukupi dan sedia dipertingkatkan dari semasa ke semasa yang melibatkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei termasuk menambah 12 buah Pos Imbangan baharu.

“Keselamatan sempadan ini sememangnya menjadi fokus utama ATM khususnya TDM lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak.

“Perkara ini juga akan dibincangkan secara terperinci bersama rakan sejawat saya, Menteri Pertahanan Republik Indonesia Tuan Yang Terutama (TYT) Prabowo Subianto semasa mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Kuala Lumpur minggu depan,” jelasnya.

Menurut Dato’ Seri Hishammuddin, pada ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sedang berada di peringkat akhir perangkaan di mana antara fokus dasar ialah mewujudkan hub-hub industri pertahanan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di seluruh negara menerusi kerjasama dengan Kerajaan Sarawak.

“Gembira untuk saya maklumkan, Kerajaan Sarawak telah menunjukkan minat dan menyuarakan kesediaan untuk turut serta dan bekerjasama dengan MINDEF bagi menjayakan perancangan berkaitan industri pertahanan ini di Sarawak.

“MINDEF akan menghantar pasukan ke Sarawak dalam masa terdekat bagi membincangkannya secara lebih lanjut,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Dato’ Seri Hishammuddin mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi membincangkan dan memberi nafas baharu terhadap kerjasama dalam konteks pertahanan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu, Ketua Setiausaha MINDEF, Dato’ Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki Muhammad -EDISI UKAS

add comment