Program ‘Bomba Idolaku’ Dekati Komuniti, Kongsi Tips Menyelamat

SABTU, 6 OGOS 2022

SARIKEI: Dalam memupuk semangat jiwa penyelamat di kalangan kanak-kanak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sarikei telah menganjurkan Program Lawatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Imtiaz Sarikei dan Program Perasmian ‘Bomba Idolaku’.

Program diadakan pada Sabtu bertempat di Balai Bomba Sarikei itu turut dihadiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin.

Menurut Mahmudin, pelbagai aktiviti telah mereka sediakan sebagai pengisian komuniti bersama dengan Bomba Sarikei yang memfokuskan pengetahuan dan senario operasi menyelamat dan kebakaran.

“Dengan adanya pengetahuan ini, mereka boleh mempraktikkan sekiranya berlaku kebakaran dan kanak-kanak ini turut boleh berkongsi apa yang mereka pelajari bersama ibu bapa dan ahli keluarga mereka.

“Kanak-kanak biasanya mudah panik dan cenderung bersembunyi di tempat yang logik akal mereka selamat apabila berlaku kebakaran seperti di bawah katil, bilik tidur atau di bilik air menyebabkan terperangkap,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada cikgu dan ibu bapa yang sudi berkolaborasi bersama dengan Bomba dalam program tersebut. – EDISI UKAS

add comment