Sambutan Hari Malaria Sedunia Tingkat Kesedaran, Perkukuh Kerjasama Tangani Wabak Malaria

SABTU, 6 OGOS 2022

KAPIT: Penganjuran Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022 bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan kerjasama dengan komuniti dalam menangani penyakit malaria.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang sambutan itu boleh dijadikan platform advokasi bagi pengukuhan kolaborasi antara Jabatan Kesihatan Negeri bersama pelbagai agensi untuk meningkatkan keberkesanan strategi mengawal wabak berkenaan.

Berucap semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022 di Kapit pada Sabtu, Datuk Aaron berkata Hari Malaria Sedunia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, pelbagai program dilaksanakan bagi pengawalan dan pencegahan penyakit malaria dari tahun 1954 di Miri pada awalnya di bawah Dr Julian de Zulueta.

Manakala program eleminasi Malaria Sarawak telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 dengan melibatkan pelbagai aktiviti.

Program tersebut membabitkan kumpulan sasar seperti orang awam, anggota kesihatan, agensi kerajaan dan swasta di bahagian Kapit.

Setelah itu, Datuk Aaron berkesempatan melawat pameran yang turut diadakan di kawasan Town Square oleh agensi seperti IPD Kapit, Jabatan Penenrangan (JAPEN), Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit, Jabatan Tenaga Kerja, Sarawak Energy Berhad (SEB), Hospital Kapit dan Klinik Kesihatan Kapit.

Hadir sama ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Hak dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rosemawati Ariffin. – EDISI UKAS

add comment