SABTU, 6 OGOS 2022
MIRI: Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Miri Tahun 1444H/2022M akan dapat memperkukuhkan perpaduan dan kemakmuran antara kaum di Sarawak.
Perkara ini dijelaskan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) Datuk Rosey Yunus semasa berucap merasmikan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Miri Tahun 1444H/2022M anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Perayaan Islam Miri di Masjid Al-Taqwa Miri di sini pada Jumaat.
Katanya, ini sesuai dengan peristiwa hijrah Rasulllah S.A.W yang mana mengajak umat Islam untuk menggalas tanggungjawab memimpin masyarakat ke arah kemakmuran dan kesejahteraan, tanpa perlu meleburkan jati diri dan pegangan hidup.
Justeru, idealogi seperti Pluralism, Liberalism, Atheism dan sebagainya tidak boleh dijadikan sebagai dasar dan formula kepada pembentukan Keluarga Malaysia kerana ia akan mengakibatkan umat dan negara kehilangan identiti dan asal usulnya, selanjutnya mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Dalam pada itu, Datuk Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menjelaskan Sarawak telah menjadikan konsep Keluarga Malaysia ini sebagai batu asas menjayakan negeri ini untuk ditadbir urus dengan baik.
“Ini termasuklah menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kestabilan kaum ketika negara berada dalam fasa pemulihan ke endemik dengan mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, masyarakatnya berilmu, berakhlak saling hormat-menghormati, adil dalam mengagihkan kekayaan negara dan memastikan pembangunan lestari.
Katanya lagi, sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya, sudah tentu cabarannya adalah besar bagi merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Oleh sebab itu, kita memerlukan semua warganegara yang terdiri daripada berbilang bangsa, keturunan, agama, budaya dan sebagainya agar menjalankan peranan masing-masing dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia.
“Semoga aspirasi Keluarga Malaysia ini mampu menjadi pemangkin kepada kemakmuran masyarakat dan negara kita,” ujar beliau.
Pada majlis itu, Qari Mohd Faizzil Affandi dari daerah Subis dan Qariah Nurul Izzah Mukhali dari daerah Miri masing-masing muncul johan dalam pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Miri Tahun 1444H/2022M yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,200.
Datuk Rosey turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Tetap Aktiviti Perayaan Islam Miri bagi melaksanakan program dan aktiviti tahunan untuk masyarakat di Miri ini.
Hadir sama Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, wakil pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Miri Muhamad Rahiman Malim, Pengerusi Masjid Al-Taqwa Miri Temenggung Dato Abdul Rahman Abang Fadzail dan Imam Bahagian Miri Sharafuddin Suaut.-EDISI UKAS