Kerajaan Fokus Mempromosi Pendidikan STEM

AHAD, 7 OGOS 2022

KUCHING: Kerajaan fokus untuk mempromosikan bidang Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sebagai kerjaya masa depan mereka.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata program MEITD MyStem Innovation Challenge akan menjadi platform yang sangat baik untuk guru dan pelajar yang berdedikasi untuk melibatkan diri dalam STEM.

Menurutnya, program tersebut akan membangkitkan rasa ingin tahu mereka, memberi inspirasi kepada mereka untuk bertanya soalan, berfikir secara kritis dan menemui jawapan kepada masalah dunia sebenar.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel MEITD MyStem Innovation Challenge di Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di sini pada Ahad.

“Dalam program ini, kami melihat penyertaan pelajar dan guru untuk mengeluarkan idea baharu, berfikir secara mendalam tentang konsep STEM, menjadi inovatif dan kreatif, berfikir di luar kotak, membuat perubahan dalam tindakan dan penyelesaian mereka,” katanya lagi.

Beliau menambah, pelajar akan mendapat peluang pembelajaran sepanjang program untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka daripada pasukan pakar teknologi digital dan pakar STEM.

“Kita juga mempunyai rancangan untuk program ini supaya dilanjutkan lagi di Sibu dan Miri,” tambah beliau.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Datu Kameri Affandi, Angkasawan Negara Dato Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli, Ketua Pegawai Eksekutif YSISS Dr. Eliza Fazliyaton, Pengetua YSISS Bahtiar Afandi serta rakan usaha sama Universiti Kebangsaan Malaysia diketuai oleh Dr. Sattar Rasul. – EDISI UKAS

add comment