Kerajaan Luluskan LTB & Fasa 2 SSLR

AHAD, 7 OGOS 2022

MIRI: Rakyat tempatan mampu menikmati kemudahan perhubungan jaringan yang lebih baik di kawasan utara Sarawak  setelah kerajaan meluluskan pelaksanaan Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). 

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, projek-projek tersebut bakal menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas dan seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya. 

“Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui negara Brunei Darussalam menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 kilometer (km) yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala. 

“Manakala mereka yang tidak mahu melalui Brunei pula boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja 11 (WPC 11) di perkarangan Permy Mall di sini pada Ahad. 

Beliau menjelaskan, projek-projek dengan jumlah kos bernilai RM10.62 bilion itu bakal membolehkan masyarakat terutamanya di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa pada masa depan.  

Dato’ Sri Ismail  Sabri mengulas lanjut, dengan penelitian teknikal yang kini berada di peringkat akhir, kerajaan komited untuk memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun 2023 dengan tempoh pembinaan selama tiga hingga lima tahun. 

“Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama,” jelasnya. 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek-projek seumpamanya memberi lebih peluang kepada warga Sarawak untuk turut terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor. 

“Ini sekaligus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan selain melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Sarawak,” ujarnya lagi. 

Hadir sama ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Dif-Dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS 

add comment