Kerajaan Sarawak & Pusat Terus Bekerjasama, Jamin Kelangsungan Pembangunan

AHAD, 7 OGOS 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan arus pembangunan yang berterusan di negeri ini. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama antara kedua-dua kerajaan amat erat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. 

“Menerusi konsep Keluarga Malaysia yang direalisasikan oleh beliau, kita sememangnya berasa senang untuk bersama memantapkan Malaysia dan seterusnya mendapatkan pembangunan terkini untuk Sarawak khasnya,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja 11 (WPC 11) di perkarangan Permy Mall di sini pada Ahad. 

Menyentuh berkenaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, beliau memberitahu, Sarawak berada dalam landasan yang betul dalam memastikan projek infrastruktur penting dibangunkan untuk manfaat masyarakat tempatan. 

“Dalam pada itu, saya menzahirkan ucapan tahniah kepada warga Miri kerana mampu mendapat manfaat daripada Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja 11 (WPC 11) Lebuhraya Pan Borneo yang kini siap sepenuhnya untuk menghubungkan Miri dengan kawasan-kawasan lain seperti Sibu, Limbang, dan Kuching. 

“Dengan ini, matlamat kita untuk menjadi negeri maju berpendapatan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan,” tegasnya. 

Hadir sama ialah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; serta Dif-Dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS 

add comment